Plaster dan Platform B2

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on pinterest

Ceritanya selalu tidak berkait.

Ceritanya, selalu tidak habis. Jarang pernah ditemui jawapan. Selalu kepusingan mencari isi. Yang berakhir dengan ketidakpuasan hati.

Mahu dimarah, dia siapa?

Mahu dijerkah, aku siapa?

Lelah kata jiwanya. Lelah lagi sanubari yang punya rasa. Mahu saja dicabut dan dineutral segala perisa yang telah lama membejat takhta yang selama ini dia pegang dan jaga.

‘Bodoh!’ jerkahnya.

‘Kau yang bodoh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!’ teriaknya lebih panjang. Sakit hati!

Pada siapa? itu isunya. Pada diri atau pada takdir yang mencipta aturan yang dia tidak rela?

“Bang, kasi saya plaster satu?” wang kertas seringgit dihulur pada si penjaga kaunter.

Dalam hati berdetak, ‘Mampukah plaster yang bernilai 30 sen ini menampung segala luka yang dia rasai?’ perlahan sarung plaster dikoyak, menampal luka pada jari. Habis, luka yang tersagat dihati ini mahu ditampal dengan apa? Air mata? Hingusan sendu yang sadis meraih pada jiwa yang akan binasa?

Bodoh!

“Eh, kenapa pintu ni ditutup? Macam mana nak keluar ni?” suara asing bersoal. Dia terpinga. Oh ya, baru dia tersedar yang laluan harian biasanya sudah terkatup dengan bidai. Wajah mereka kebingungan.

“Barangkali, kita harus menggunakan laluan utama untuk keluar…” kata manusia asing itu sambil berjalan menuju pintu utama. Dia hanya mengekor dan tersengih sumbing saja dari belakang. Menggaru kepala yang tidak gatal seperti si bodoh kebangangan.

“Kerja sini ke?”

“Ha?” jelas benar pekaknya. Suara lagu ditelinga direndahkan.

“Haah…kerja.” dalam hati berharap yang tiada lagi perbualan yang seterusnya. ‘Blah la kau, silalah blah, tolonglah bla….hahahahaha kejam gila’ persetan! getus hati rawan.

Dan mereka kembali berjalan bagai dua manusia asing menuju ke satu destinasi yang sama.

“Kau kena hati-hati. Kadang manusia ni suka pergunakan orang lain untuk menampung luka lama mereka pada sesuatu yang tidak kesampaian.” pesan si sahabat. Hirupan Coco smoothie oreo cookies seolah berperisa petai yang diblender bersama peria dan durian yang menghasilkan rasa yang amat kelat pada jiwanya.

“Tapi, aku tak pernah pun jadikan manusia sebagai plaster. Asal aku jadi mangsa?” pertikainya. Helaan nafas hasil campuran tiga bahan yang kuat bau dan rasa telah menghasilkan kepulan asap bersimbol tengkorak. Matilah kau…

“Manusia macam tu, biasanya buat manusia lain sebegitu sebab takut. Mereka takut akan bertemu rumput yang lebih hijau dan kuntuman yang lebih mekar. Masa tu, mungkin dah terlambat untuk undur masa…” payau liur dilidahnya semakin berpasir.

Jarak langkah antara mereka sudah jauh lima kaki. Syukur dia berjalan bagai si kura.

‘Bagaimana mahu memberi peluang, jika penghujungnya kita tahu ia pasti menyakitkan’ mesej dihantar pada teman yang pernah menjadi jiran.

‘Kau cuba chill, buat macam biasa…jangan lompat pada babak akhir tanpa melalui setiap bab. Walaupun kau dah tahu permainan setiap cerita ada formasi yang sama, kau cuba belajar untuk kosongkan gelas kau buat sementara.’

Kosongkan gelas? 

Plaster dan Platform.

Balutan plaster pada jarinya yang terluka itu diramas perlahan. Sakit. Bukan kerana luka fizikal, tapi luka yang dia sendiri tidak tahu apa statusnya. Sudah bernanahkah ia? Sudah dihinggap lalatkah? Atau sebenarnya luka itu tidak pernah wujud?

Laluan mereka terpisah kerana dua platform. B2. Jadinya dia ke bandaran, manakala aku ke kampungan. Mujur terpisah.

Dia duduk pada bangku yang kosong. Ditala pandang ke seberang, melihat manusia asing itu dengan segaris senyuman. Dia membalas dengan lambaian. Kita terpisah kerana dua platform.

Plaster itu dia buang.

Platform itu dia tinggal.

Gelas itu juga, dia belajar untuk kosongkan.

Menumpahkan segala rasa dalam bentuk aksara. Sepi tiada rima, sunyi tanpa nada. Kau yang membaca jua pastikan tertanya, cerita ini berkaitan dengan aku kah?

Dan kau bertanya, kau terlukakah?

Aku akan menjawab, dulu mungkin ya. Sekarang, darah itu sudah kering bahkan tidak pernah wujud. Aku tinggalkan segalanya di platform B2 bersama sisa air yang ku tuang dari gelas pemikiran. Memberi ruang pada pengalaman yang mendatang tanpa hentian….

Perjalanan diteruskan…

‘Tut tut, tut tut, duguk duguk duguk duguk dung’ dan keretapi terus meninggalkan plaster, platform B2 dan juga sisa air jauh kebelakang.

Keep reading on

Any thought?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top