Ada satu fasa dalam kehidupan kita ni, kita akan belek balik perjalanan hidup kita dan bermonolog sendiri, hari yang indah sebegini adalah lebih baik dihabiskan masa hanya duduk di rumah dan renung segala perjalanan kehidupan kita.
Bukan untuk merasa kurang itu ini dibanding orang, tapi untuk ubah ia menjadi apa yang perlu diperbaiki setelah mendapat semuanya.
Ya, kadang kita lihat, indahnya aturan mereka, kelihatan normal begitu. Sedang kita…
Ha….tang perasaan yang itulah cuba kita hadap dan tukar ia menjadi sesuatu yang, kitakan unik. Paling kurang pengalaman kita yang begini, tidak ramai yang laluinya…
Manusia inikan, bila aturan seolah tidak sama dengan KPI alam, mulalah merasa down. Merasa seolah gagal dan lain perasaan yang buat kita kurang rasa syukur dalam diri. Walhal, jika dilihat dari aspek lainnya, kita ini cukup bertuah. Bertuah yang kita jarang syukuri kerana kita anggap itu semua sebati dan ‘biasa’.
Akulah tu.
Berkali pesan pada diri, hanya kerana jalanmu tidak sama dengan buku teks gariskan, bukanlah tanda hidupmu sudah berakhir. Tandanya, kamu perlu menjadi penulis dan pelakar jalanmu sendiri. Asasnya masih sama. Cabang dan dahan saja yang berbeza. Yang menjadikan setiap dari kita bentuknya itu tidak akan pernah serupa.
Mungkin begini, mungkin juga begitu.
Hendak dipujuk diri agar selalu ingat pada tanah tika mendongak langit itu tidak semudah apa yang kita fikir, kerana minda kita terlalu fokus pada yang seberang sana. Kadang bila kita sudah tenang dengan kita yang seberang sini, ada saja anasir yang cuba mencemarkan ketenangan dalaman kita.
Kata-kata yang luar dari kawalan kita.
Kita sudah sehabis daya menyekat ia agar tidak menusuk ke dalam kalbu, namun perlindungan pada jiwa itu masih di fasa yang agak rapuh. Kadang tertusuk juga. Mulalah merasa itu ini yang berakhir dengan murung sendiri. Koyak…
Didikan hati ini perlu sentiasa dilindung dan dijaga setiap detik. Bukan hari ini kita belajar, esok sudah auto pulih sedia kala. Tidak…
Sebab itu kita kena selalu isi jiwa kita dengan ilmu dan tunjuk ajar dari guru. Ada yang ahli dalam bidangnya itu, jadikanlah sebagai rujukan. Merujuk pun perlu berwaspada. Bukan sekadar bersandar pada satu sumber. Sumber wajib kita itu semestinyalah Al-Quran, Sunnah serta ijma’ Ulama.
Zaman sekarang, kita terlalu kita dengan infromasi sehingga kita lupa mana satu yang nyata dan rekaan. Kadang terlepas pandang untuk dibuat kajian lebih mendalam kerana kita sudah ada confirmation bias.
Jadinya, cawan kita itu tidakkan pernah penuh dalam pencarian ilmu. Sentiasa memilih untuk belajar, belajar dan terusan belajar dengan setiap sesuatu darinya.
Tapi jiwa merasa cukup?
Sentiasalah isinya dengan rasa syukur. Syukur, syukur dan bersyukur selalu. Walau sekecil perihal, pahit, manis, masin, masam, tawar…semuanya adalah guru kita. Pengalaman…
Kita pun sedia tahu perasa itu ada banyak macam jenisnya. Seperti itu jualah kehidupan yang kita selusurinya. Tidak juga kita menolak setiap perasa. Dan tidak juga kita membencinya.
Kerana, ia sebahagian dari rasa. Bila kita punya rasa, erti jiwa kita masih lagi hidup. Masih ada turun dan naiknya. Kan itu tanda yang sering kita lihat pada mesin nadi dan jantung?
Tiadalah istilah gagal, cepat mahupun terlambat dalam aturan jadual kita. Semuanya cukup sedang elok pada jadual. Usah ragu, murung mahupun kecewa sedikitpun…kerana setiap darinya ada hikmah yang kita sendiri belum mampu untuk faham.
Kelak, tiba waktunya, kita jua akan menoleh ke belakang dan mula faham satu demi satu.
Untuk kita yang hari ini…teruskan saja langkah dan perjalanan. Redah saja setiap apa yang dihampar. Redah penuh rasa ingin belajar. Tanpa jemu…
Untuk diri, tetaplah tersenyum dan bersemangat.
Mana lebih menarik, melalui jalan yang sedia cantik atau berhempas pulas membina selusuri sendiri?
Tipulah kalau kita langsung tak teringin nak hidup semuanya mudah, tapi tu lah…nanti ceritanya pun hambar…bila cipta jalan sendiri ni, semua cabaran kita itu adalah sebuah pengembaraan. Kembara menjadi orang…
Tetap tenang ya jiwa. Suatu hari nanti, masa mu akan tiba jua. InsyaAllah…

0 Comments:
Catat Ulasan